Click Here To Main Page My Biodata To Share My Photography Artworks All My Stories Here Islamic Dakwah For Us Usefull Tips and Tutorial Order Here!

Tuesday, April 23, 2013

Maksud Zina Hati (Part 4) Episod Terakhir



MANHAJ DALAM MEMAHAMI AGAMA (Episod terakhir)

Tidak dinafikan, adakalanya mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang dakwah atau mereka yang baru menemui jalan keinsafan, mereka mempunyai semangat yang meluap-luap berjuang untuk Islam. Tapi masalahanya semangat yang meluap-luap tanpa latar belakang ilmu yang kuat boleh menyebabkan perjuangan yang dibawa itu merosakkan lebih daripada membaiki.

Semua tak boleh, itu zina, ini zina, itu haram, ini haram sehingga menyempitkan ajaran Islam yang luas dan membesar-besarkan perkara lebih daripada skop asalnya.

Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya adalah manhaj berasaskan وسطية /wasatiyyah (pertengahan). Tidak dinafikan, kalau orang itu dilihat mempermudah-mudahkan urusan agama maka kita perlu memberikan peringatan keras kepada mereka. Sebaliknya pula kalau orang itu dilihat terlalu memayah-mayahkan agama maka kita perlu memudahkannya bagi mereka. Namun, semua itu perlu dilakukan atas dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh, apabila wujud sebahagian daripada sahabat Nabi mempermudah-mudahkan urusan berwudhuk sehingga tidak meratakan air ke tempat-tempat yang sepatutnya, maka Nabi memberikan amaran keras kepada mereka berupa seksaan api neraka. 

Sebaliknya apabila ada pula sebahagian sahabat yang memayah-mayahkan urusan berwudhuk sehingga membasuh anggota wudhuk secara berlebihan, maka Nabi berkata bahawa basuhan wudhuk itu hanya tiga kali. Andainya masih wujud keraguan dalam hati tidak rata, maka usah dilayan, itu hanya was-was syaitan.

Caranya adalah bersikap keras kepada mereka yang nampak mempermudah-mudahkan agama, dan bermudah-mudah bagi mereka yang nampak memayah-mayahkan agama. Tetapi perlu diletakkan dalam kepala bahawa tujuan akhirnya adalah supaya kedua-dua golongan tersebut kembali kepada kesederhanaan dalam beragama. 

Kata Imam Syatibi: Andai kamu melihat kepada keseluruhan syariat maka engkau akan dapati syariat itu cenderung kepada pertengahan. Andai kamu melihat ada kecenderungan kepada sisi terlampau memudahkan atau sisi terlampau menyusahkan maka itu bagi berhadapan dengan lawannya daripada sisi lain.

Sisi memayahkan (kebanyakannya pada menakutkan, menggerunkan, melarang) didatangkan bagi berdepan dengan mereka yang cenderung mempermudahkan agama.

Sisi memudahkan (kebanyakannya pada pengharapan, galakan, dan rukhsah kemudahan) didatangkan bagi mereka yang cenderung memayahkan agama.

Kalau tiada masalah pada kedua-duanya maka aku melihat pertengahan itu lebih utama, dan jalan kesederhanaan itu jelas, dan itulah kaedah asal yang menjadi rujukan dan pusat yang menjadi tempat pergantungan”. (Rujuk Kitab Al-Muwafaqat oleh Imam Syatibi, jilid 2 , m/s 286, cetakan Dar Ibni Affan)

Janganlah terlampau mempermudahkan dan jangan terlampau menyusahkan. Ambil jalan pertengahan. Untuk pesakit darah tinggi, berikan ubat yang menurunkan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan normal. Pesakit darah rendah pula, berikan ubat yang meninggikan kadar tekanan darahnya kepada kadar tekanan tahap normal. Apa yang penting adalah memastikan kenormalan tekanan darahnya.

Akhir kata, semoga segala penjelasan itu dapat dicerna dengan baik. Andai timbul sebarang persoalan tak faham lagi berkenaan zina hati, maka bak kata rakan saya: “Sila hantukkan kepala anda ke dinding”….hehe sekadar bergurau. Jangan lagi membesarkan isu lebih daripada skop yang sepatutnya. 

Sememangnya muhasabah diri sama ada terpalit dengan dosa atau tidak itu memang sesuatu yang bagus. Tapi men’dosa’kan diri dengan perkara yang bukan dosa itu bukan daripada ajaran agama, itu adalah ta’annut dan tasyaddud yang ditegah dalam beragama. 

Islam tidak datang untuk menjadi musuh kepada naluri dan perasaan manusia tetapi untuk memberikan pedoman dan tunjuk ajar supaya manusia dapat mengawal naluri dan perasaannya ke arah kebaikan. Dengan itu dapatlah kita menjadi manusia yang baik bukan menjadi malaikat yang baik.

Sekian, wassalam.


Psst!! Kengkadang kite secare tak sengajaa melakukan zina hati nie kn.. Huhuhuuu~

hwaaaaaaaaaaaaaa




Dah Bace Tu Try Komen Pulak

0 Orang Suke Pink: