Click Here To Main Page My Biodata To Share My Photography Artworks All My Stories Here Islamic Dakwah For Us Usefull Tips and Tutorial Order Here!

Friday, November 14, 2014

Operasi nombor plat bagai GST, bebankan rakyat


KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diingatkan supaya tidak membebankan rakyat menerusi operasi penguatkuasaan cermin gelap dan nombor plat.

Ahli Parlimen Bukit Katil-PKR, Shamsul Iskandar Md Akin mendakwa langkah kerajaan menerusi agensi penguatkuasa itu dilihat seolah-olah cuba melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih awal berbanding April depan.

"Saya hendak minta pimpinan Kementerian Pengangkutan dan JPJ, jangan men'GST'kan rakyat lagi.

"Saya ingat operasi itu satu bentuk GST, rakyat akan menanggung beban lagi sebelum tahun depan.

"Apakah JPJ sendiri sudah tidak mampu untuk membiayai operasi mereka sehingga perkara kecil seperti ini ingin dibebankan," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Bermula 1 November lalu, JPJ memulakan tindakan keras di seluruh negara terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan spesifikasi nombor plat dan lampu HID "head lamp" yang tidak mematuhi standard.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, kira-kira 1,500 anggota akan terlibat dalam operasi itu yang akan dilaksanakan bersama-sama dengan anggota polis trafik dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Dalam pada itu, Shamsul selaku Naib Presiden PKR turut mempersoalkan kenyataan Ketua Pengarah JPJ baru-baru ini yang mengatakan nombor plat kenderaan penyumbang kepada peningkatan jumlah kemalangan jalan raya.

"Ia tidak masuk akal dan tidak munasabah bahawa operasi cermin gelap dan nombor plat ini boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Saya minta menteri pengangkutan dan JPJ bertindak kepada isu sebenar, isunya kemalangan jalan raya meningkat, kaji semula, bertindak kepada isu sebenar.

"Kita ada Miros dan institut yang membuat penyelidikan, cari jalan keluar, biarlah perkara yang membabitkan rakyat ini, kita kurangkan," ujarnya.

Katanya lagi, di beberapa negara Asia lain seperti Indonesia dan Filipina, isu cermin gelap khususnya tidak timbul kerana kerajaan mereka memberi kelonggaran kerana faktor cuaca.

"Dia tahu sebab negara mereka panas, buat cermin gelap untuk keselesaan, biarlah.

"Kalau betul dia buat jenayah, tangkaplah, JPJ ada kuasa untuk tahan, saya tidak fikir majoriti penjenayah dalam negara ini buat jenayah dalam cermin gelap," katanya lagi.

-Sinar Harian 13 Nov 2014-

Dah Bace Tu Try Komen Pulak

0 Orang Suke Pink: